‘Cladding’ pada bangunan KWSP langgar undang-undang

KUALA LUMPUR: Penggunaan lapisan pelindung yang mudah terbakar  atau ‘cladding’ pada bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) langgar undang-undang, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.

Justeru itu ujarnya menerusi kenyataan media, ia perlu dijadikan pengajaran kepada bangunan-bangunan lain agar tidak berulang kelak.

“Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid dilaporkan berkata punca kebakaran adalah percikan api yang terkena ‘cladding’ atau lapisan pelindung yang mudah terbakar.

“Penggunaan ‘cladding’ mudah terbakar itu adalah menyalahi undang-undang dan siasatan menyeluruh perlu dibuat mengapa tiada tindakan diambil walaupun insiden sama pernah berlaku di dalam dan luar negara sebelum ini.

“Pihak berkuasa dan pihak berkepentingan perlu mengambil kebakaran di bangunan KWSP ini sebagai pengajaran dan mengambil langkah proaktif untuk mencegah berlakunya tragedi serupa di Malaysia,” katanya.

Insiden kebakaran bangunan KWSP Jalan Gasing, Petaling Jaya kira-kira 12 tengahari, Selasa tambah beliau perlu disiasat dengan rapi kerana maklumat awal mendedahkan ia melibatkan penggunaan bahan binaan yang melanggar undang-undang.

Malah menurut Lee bukan bangunan KWSP malah lebih 47 lagi bangunan dan 40 pangsapuri dan kondominium yang juga berpotensi tinggi dijilat api kerana struktur bangunan yang disifatkannya sebagai tidak selamat.

“Di Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 47 bangunan kediaman tinggi di seluruh negara, termasuk 40 pangsapuri dan kondominium di Lembah Klang, berisiko tinggi kebakaran.

“Mereka yang terlibat mereka bentuk dan membina struktur bangunan pula perlu menjadikan pencegahan kebakaran sebagai pertimbangan utama mengenai keselamatan bangunan.

“Pihak berkuasa juga perlu mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan JBPM berkaitan panel komposit aluminium berkualiti rendah dan mudah terbakar yang digunakan oleh ramai kontraktor di seluruh negara,” kata beliau.

Jabatan Bomba juga tambahnya lagi perlu memeriksa semua bangunan dalam negara agar sentiasa dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Mohd Hafiz Mat Dali berkata melaporkan perkembangan terkini bahawa Laporan penuh siasatan kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing di sini dijangka siap dalam tempoh seminggu.

FB Komen

comments