Najib lancar FELDA Bilut

BENTONG: Selepas lebih 60 tahun dibangunkan sehingga menjadi sebuah tanah rancangan paling berjaya di dunia, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus mengorak langkah untuk mencapai masa depan yang lebih gemilang menerusi inisiatif Felda 2.0, yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu merupakan suatu gagasan idea untuk membangun dan menaik taraf kawasan tanah rancangan sedia ada bagi menjadikannya lebih berdaya saing selaras dengan elemen komuniti pintar serta lestari.

“Jika Felda 1.0, kita menempa jaya, maka de­ngan Felda 2.0 ini, kita akan bersama melakar masa depan gemilang untuk berjaya dan terus berjaya sampai ke puncaknya.

“Kepada warga peneroka dan generasi baharu Felda, ayuhlah kita bersatu dan berpadu kerana sesungguhnya Felda ini benteng kita. Felda ini legasi kita dan semestinya Felda inilah maruah dan tanggungjawab kita bersama,” katanya semasa berucap melancarkan inisiatif itu di Felda Lurah Bilut di sini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad.

Pada majlis itu Najib turut menyampaikan replika cek insentif peneroka sifar hutang dan Anugerah Belia FELDA Malaysia kepada beberapa tokoh belia dari wilayah FELDA.

Najib yang menyatakan komitmen untuk menyokong konsep FELDA 2.0 berkata, kerajaan akan membantu menambahkan peruntukan bagi membolehkan projek itu dijalankan secara menyeluruh.

“Jadi kalau Tan Sri Shahrir nak RM50 juta insya-Allah diluluskan RM50 juta tahun ini. Janji buat projek ini,” katanya.

Beliau juga memaklumkan persetujuannya untuk menjemput 11 wakil wilayah FELDA untuk mengikuti ibadat haji di bawah program Yayasan 1MDB mulai tahun ini.

FB Komen

comments