PDRM dan JBPM boleh kurangkan masa siasatan

KUALA LUMPUR: Kerjasama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam siasatan kebakaran mampu mengurangkan jangka masa siasatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata menerusi kolaborasi itu ia juga boleh mengelak daripada berlakunya pertindihan tugas yang dilakukan kedua-dua agensi.

“Sebanyak 3,901 kertas siasatan kes kebakaran dibuka PDRM sejak tiga tahun lepas namun, 477 kes tertangguh dan belum selesai.

“Ketika itu, bomba bergantung kepada PDRM, PDRM bergantung kepada bomba. Mudah-mudahan dengan kerjasama ini, ia (siasatan kes kebakaran) dapat dimuktamadkan segera.

“Siasatan konklusif dapat dilakukan, masing-masing (PDRM dan JBPM) tidak lagi boleh main tarik tali siapa lebih berkuasa dan siapa yang ada bidang kuasa yang lebih dalam soal ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di antara PDRM dan JBPM dalam siasatan kebakaran di Maktab PDRM.

Dalam pada itu, beliau mahu agar hanya seorang jurucakap mewakili agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana ditugaskan memberi kenyataan media bagi mengelak kekeliruan maklumat kepada orang ramai.

Jelasnya, ini berounca daruipada terlalu banyak kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh jabatan-jabatan berkenaan sebelum ini hingga akhirnya telah menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat umum.

FB Komen

comments