Rokok seludup RM2.84 juta dirampas

SEREMBAN: Taktik menggunakan lori ‘bonded’ bagi membawa barangan seludup, gagal mengaburi penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) daripada menahan dan merampas 182,000 kotak rokok membabitkan nilai keseluruhan RM2.84 juta.

Dalam serbuan jam 1.30 pagi pada 5 Februari lalu, lori yang dipercayai dari Port Klang, dikesan selepas Kastam menerima maklumat awam, sebelum membuat risikan mengenai kehadiran kenderaan berkenaan yang membawa muatan bertutup sepenuhnya.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Jaafar, berkata maklumat awal diterima menyatakan yang sindiket penyeludupan membawa masuk rokok terbabit melalui jalan laut sebelum mengangkut barangan itu ke negeri ini.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam menahan sebuah lori lima tan sebaik ia melepasi Plaza Tol Rasah dekat Seremban, namun pemandunya sempat melarikan diri.

“Pemeriksaan menemui 3.64 juta batang atau 182,000 kotak rokok berjenama John, yang dibalut menggunakan plastik hitam dalam lori berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Abdullah berkata, semua rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.84 juta termasuk cukai.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan dalang sindiket penyeludupan terbabit dan menyita barangan berkenaan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Abdullah berkata, pihaknya turut menawarkan ganjaran wang tunai kepada pemberi maklumat yang berdaftar mengenai aktiviti penyeludupan barangan seperti dadah, rokok, minuman keras dan mercun.

“Kita memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan. Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

FB Komen

comments