Sekolah digesa tingkatkan aaspek keselamatan

KUALA LUMPUR: Insiden terbaru membabitkan seorang pelajar tingkatan dua yang maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput, di Gemas, Negeri Sembilan semalam, membuktikan spek keselamatan di sekolah mesti dipertingkatkan, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Menurut Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) itu, kejadian berkenaan boleh dicegah jika pihak terbabit mengutamakan keselamatan pelajar.

“Pelajar tidak sepatutnya berada di kawasan berkenaan ketika kerja penyelenggaraan dilakukan dan begitu juga sebaliknya.

“Kejadian ini memberi pengajaran pentingnya keselamatan pelajar diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, guru dan pelajar perlu mengenal pasti perkara berkenaan serta mencegah kemalangan daripada berlaku.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ada beberapa laporan kemalangan di sekolah membabitkan guru, kakitangan dan pelajar, termasuk yang menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap lebih banyak sekolah akan mengambil bahagian dalam Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan.

“Sekolah yang selamat tidak bermakna bebas daripada masalah disiplin dan jenayah lain seperti penindasan, gangsterisme serta penyalahgunaan dadah.

“Ia juga mesti memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan selamat.

“Jika pendidikan keselamatan dipupuk dalam kalangan guru dan pelajar, mereka akan lebih sensitif melihat keadaan bahaya seperti kabel kuasa terdedah, tiang berkarat atau bahan kimia bocor,” katanya.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia berikutan cedera parah di kepala selepas terkena bilah yang melayang.

FB Komen

comments