Tiada masalah bincang Perjanjian Malaysia, kata PM

KUCHING: Kerajaan persekutuan tiada masalah untuk mengembalikan sekiranya ada kuasa atau hak-hak herajaan negeri Sarawak yang ‘terambil’ secara sengaja mahupun tidak sengaja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi untuk duduk semeja dengan jawatankuasa peringkat tinggi yang ditubuhkan kerajaan negeri Sarawak bagi berbincang tentang hak-hak negeri Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Runding baik-baik, cari penyelesaian, semua boleh bincang. Dalam Kabinet (persekutuan) pun ramai menteri datangnya dari Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kerajaan hari ini lebih jujur dan ikhlas berhubung banyak isu, berbeza dengan keadaan suatu ketika dahulu apabila sesiapa sahaja yang menyentuh soal Perjanjian Malaysia 1963 akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau seterusnya memuji perpaduan dan permuafakatan yang ditunjukkan PBB sehingga banyak jawatan tinggi parti dimenangi tanpa ada sebarang pertandingan, yang menurutnya ia seharusnya menjadi model untuk dicontohi oleh parti-parti politik yang lain di Malaysia.

Katanya, dengan melihat kepada perpaduan, permuafakatan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh PBB hari ini, beliau yakin parti itu benar-benar sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan mampu memberikan keputusan yang terbaik kepada kerajaan BN.

Najib berkata, kerajaan juga tidak ragu-ragu untuk menyalur perutukan pembangunan kepada negeri Sarawak yang dianggapnya memang berbaloi, dalam usaha membawa pembangunan yang adil dan saksama buat semua.

Beliau berkata, seharusnya tidak ada jurang pembangunan di antara negeri, dan sebab itu juga peruntukan besar perlu disalur kepada Sarawak kerana pembanguan untuk seluruh rakyat perlu diagihkan sama rata antara negeri.

Perdana menteri berkata, sebab itu beliau memberi tumpuan terhadap pembangunan Lebuhraya Pan Borneo yang menelan belanja tidak kurang daripada RM14 bilion yang dijangka siap pada tahun 2021, tanpa tol.

Selain itu katanya, sebab itu beliau turut memberi tumpuan terhadap usaha membina jalan raya bagi menghubungkan kawasan Kapit di tengah pedalaman Sarawak, supaya kawasan itu dapat dihubungkan dengan dunia luar menerusi jalan darat.

“Dalam konteks Sarawak, anda semua tidak perlu bimbang, saya sahabat baik Sarawak. Saya ingin lihat seluruh pelusuk tanah air kita, dari Perlis sehingga ke Sabah, membangun dan maju secara seimbang, adil dan saksama.

Kalau ada jurang pembangunan, tanggungjawab saya sebagai perdana menteri untuk menanganinya,” katanya.

Najib berkata, sebagai perdana menteri, beliau telah melawat Sarawak sebanyak 59 kali meninjau sehingga ke kawasan pedalaman, dan secara berseloroh katanya perkara itu boleh disahkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang yang sering mengemas kini setiap lawatan perdana menteri ke Bumi Kenyalang.

Katanya, beliau turut melihat jalinan permuafakatan yang cukup istimewa dalam kalangan anggota PBB antara pemimpin baharu dan lama, di samping kepelbagaian etnik yang mengukuhkan parti, sehinggakan beliau tidak melihat jurang perbezaan antara mereka.

FB Komen

comments