Tidak wajar Mydin burukkan KR1M

KUALA LUMPUR: Tidak wajar untuk Mydin memberi gambaran negatif terhadap Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Tambahnya, dakwaan Mydin bahawa program kedai rakyat itu merugikan dan menyusahkan seolah-olah tindakan yang sering dilakukan oleh pembangkang.

“Kita guna statistik daripada hanya perasaan, emosi, memainkan sentimen ini menyusahkan kita.

“Jangan main sentimen, itu biar pembangkang sahaja buat kerja ini, beritahu Mydin dia bukan pembangkang,” kata beliau semasa sesi taklimat mengenai KR1M 2.0 baru-baru ini.

Hamzah berkata demikian ketika menjawab kenyataan Datuk Ameer Ali Mydin kononnya rakyat tidak mempunyai wang untuk berbelanja walhal banyak kedai-kedai baharu dibuka oleh syarikat itu.

Jelas Hamzah lagi, faktor lokasi dikenalpasti menjadi punca penurunan jualan, malah pasar-pasar raya besar juga berdepan masalah sama.

“Giant ada 118 outlet. Daripada jumlah itu sehingga akhir Disember 2017 ia tutup lapan stor dan buka baharu satu. Tesco ada 57, tahun ini buka dua dan tutup satu, AEON ada 34, tambah satu lagi yang baharu.

“Saya panggil pengurusan Giant mengapa lapan ini (tutup), mereka beritahu saya sebab lokasi. Apabila satu keadaan kita berniaga, kadangkala lokasi yang kita letak itu sesuai ketika kita bangunkan tempat itu tapi sudah sampai masanya ada perubahan di situ,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, sektor peruncitan menunjukkan peningkatan apabila statistik terbaharu Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) mencatat peningkatan 7 peratus pada 2017.

“MRCA keluar kenyataan dua hari sudah, sektor peruncitan ada penambahan dari segi pendapatan,” menurutnya.

FB Komen

comments