Iqram cuba naik pentas banyak kali, bukan gimik AJL32

KUALA LUMPUR: Persembahan Altimet menerusi lagu Amboi pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 tidak dinafikan begitu meriah sekali.

Namun, seperti yang heboh selepas itu Altimet meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada pelakon yang kerap mencetuskan kontreversi Iqram Dinzly dikatakan cuba ceroboh persembahannya.

Jika perkara itu berlaku, ia tentu sekali akan mendatangkan pelbagai kecacatan bukan sahaja pada persembahan Altimet tetapi menjejaskan imej anugerah berprestij AJL 32 yang bersiaran secara langsung.

Mungkin ada yang anggap kehadiran Iqram adalah gimik semata-mata walaubagaimanapun Penerbit AJL, Nurhul Huda Khalid menafikan dakwaan itu.

Menurut beliau, produksi TV3 terkejut apabila Iqram beberapa kali cuba untuk naik ke atas pentas dan mengganggu persembahan peserta yang bertanding.

“Kehadiran Iqram bukan dalam perancangan kami atau sengaja kami buat gimik. Saya sendiri terkejut selepas diberitahu oleh pihak pengurus pentas bahawa dia cuba naik ketika persembahan Altimet tapi berjaya dihalang kerana perkara itu dikhuatiri menjejaskan pertandingan.

“Satu kerja pula dia (pengurus pentas) kena jaga Iqram sepanjang persembahan Altimet itu untuk memastikan hasratnya naik pentas dapat dielakkan.” katanya.

Setelah beberapa kali mencuba akhirnya Iqram dikatakan berjaya meloloskan diri naik ke atas pentas dan menari ketika Hael Husaini menyanyi untuk persembahan akhir.

Nurul Huda mengakui pihaknya terlalu sibuk dan terlepas pandang mengenai perkara itu.

FB Komen

comments