NUTP gesa tubuh jawatankuasa KKP siasat…

SHAH ALAM: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan untuk segera bertindak mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan menyegerakan penubuhan jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, ia susulan insiden maut melibatkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di Gemas, Negeri Sembilan akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di sekolah itu kelmarin.

Kamarozaman berkata, penubuhan jawatankuasa KKP itu perlu disegerakan oleh kementerian di semua peringkat termasuk pejabat pendidikan negeri, daerah dan sekolah.

Menurutnya, pelaksanaan OSH (kesihatan dan keselamatan pekerjaan) perlu dilakukan secara bengkel agar tidak melanggari Akta KKP.

“Banyak aspek yang perlu jawatankuasa KKP pantau secara serius. Antaranya melibatkan kawalan keselamatan, pembersihan kawasan sekolah, pendawaian elektrik dan penggunaan kenderaan di sekolah.

“Selain itu, perkara yang perlu dipantau termasuklah pengurusan bahan kimia, penyelenggaraan bumbung dan siling serta latihan jawatankuasa KKP kepada guru dan murid oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH),” katanya dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan perlu serius mengenai isu KPP ini dan penting untuk diamalkan segera bagi mengharmonikan emosi guru seluruh negara.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi kelamarin, Nur Afini Roslan, 14, maut selepas kepalanya terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang sedang memesin rumput di padang sekolahnya.

Manakala dua lagi pelajar lelaki, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, turut cedera.

Abdullah cedera di bahagian telinga kanan, sementara Mohd Farhan Reza cedera di bahagian belakang kepala.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa berada di padang sekolah untuk menyertai raptai sempena hari sukan sekolah itu ketika pemandu traktor berkenaan sedang menjalankan kerja memesin rumput.

FB Komen

comments