Sultan Johor titah rakyat bersatu

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah agar semua rakyat terus bersatu sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina hari ini agar terus maju.

“Bersatulah semua rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India, semua bangsa Johor bersatulah kalau nak maju, kalau kita berpecah maka mundurlah Johor.

“Kepada semua masyarakat Cina, selamat maju jaya pada Tahun Baharu ini,” titah baginda ringkas selepas berkenan mengunjungi rumah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong sempena Tahun Baharu Cina, di Taman Setia Tropika di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim, yang diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, tiba di rumah Siew Kiong kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Turut berangkat, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan menantu Baginda, Dennis Muhammad Abdullah;

Ketibaan keluarga diraja itu disambut dengan tarian singa dan diiringi paluan gendang sebelum baginda bergambar kenangan bersama keluarga Siew Kiong.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menulis seni kaligrafi di atas kertas sambil diperhatikan keluarga Diraja Johor sebelum bersantap dengan keluarga Siew Kiong.

Siew Kiong berkata, menjadi sejarah tersendiri kepada keluarganya apabila Sultan Johor sudi mencemar duli hadir setiap tahun ke rumahnya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ini membuktikan Tuanku seorang yang prihatin, ini juga bukti konsep bangsa Johor, kita hormat menghormati semua bangsa di Johor, kita mahu Johor jadi satu negeri yang bermoral, harmoni, bahagia dan sederhana,” katanya.

FB Komen

comments