PERMATA bukan untuk kepentingan peribadi

LANGKAWI: Program PERMATA yang dipekenalkan sejak 10 tahun lalu bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi pembangunan negara.

Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, menegaskan segala usaha yang dilakukannya itu bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi memberi sumbangan kepada negara.

Isteri Perdana Menteri berkata, dalam tempoh 10 tahun program itu diperkenalkan, isu PERMATA disensasikan sesetengah pihak, khususnya pembangkang, yang melemparkan pelbagai tuduhan, fitnah serta tohmahan.

Rosmah berkata, beliau dituduh mendesak kerajaan menambah peruntukan, malah turut dituduh kononnya menyalahgunakan wang PERMATA untuk kepentingan sendiri.

“Ada juga desakan untuk saya meletakkan jawatan tetapi tak apalah, apa orang nak kata walau pedih di hati saya biarkan sahaja bagaikan angin yang lalu.

“Saya berpegang dengan prinsip setiap kanak-kanak adalah aset dan permata negara. Mereka berhak mendapat peluang sama untuk membesar dengan ceria serta menjadi sebahagian modal insan negara.

“Saya akan terus gagahkan diri meneruskan perjuangan murni ini dan janganlah kita mudah termakan dengan berita palsu yang sengaja ingin mempolitikkannya,” katanya dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Anak PERMATA Negara Langkawi di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), di sini, hari ini.

Pusat PERMATA Langkawi adalah yang ke-89 sejak 10 tahun program ni ditubuhkan dan pusat yang keempat di Kedah.

Yang hadir sama pada majlis perasmian adalah isteri Menteri Besar Kedah, Datin Seri Hizam Awang Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Azizan Noordin.

Seramai 500,000 kanak-kanak mengikuti program itu dengan 300 kanak-kanak dikenal pasti mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi.

FB Komen

comments