Kesetiaan peneroka FELDA dipercayai

BANGI: Barisan Nasional (BN) yakin peneroka Felda tetap setia dengan parti itu menjelang pilihan raya yang bakal menjelan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Beliau percaya peneroka tidak akan mudah termakan dengan hasutan pembangkang yang terus memainkan sentimen ‘peneroka menolak BN’ untuk meraih undi.

“Saya percaya 100 peratus, peneroka FELDA akan terus menyokong BN dalam PRU14.

“Asas kepada keyakinan ini terbukti dengan keputusan PRU ke-13 lalu, dari 54 Parlimen dalam kawasan FELDA, BN hanya kalah enam.

“Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, BN hanya kalah 11 daripada 92, dan tewas tujuh dari 273 Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya dalam ucapan ketika majlis pelancaran Seminar Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) FELDA.

Razali dalam pada itu berkata pembangkang tidak tahu banyak perkara berhubung FELDA kerana melemparkan fakta salah kepada rakyat.

“Mereka (pembangkang) tak pernah ambil tahu fasal FELDA dan akan terus menyebarkan perkara yang tidak benar kepada rakyat untuk kepentingan sendiri.

“Seperti PRU yang sebelum ini, pembangkang akan guna propaganda sama,” tambahnya.

FB Komen

comments