4 bekas pengarah Genneva dipenjara 8 tahun, denda 1 juta

PUTRAJAYA: Empat bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn Bhd (GSB), hari ini dihukum penjara lapan tahun dan denda RM1 juta setiap seorang oleh Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah atas 154 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM200 juta.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan Ng Poh Weng, 67, Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 65, Chin Wai Leong, 41, dan Liew Chee Wah, 63, menjalani hukuman itu bermula hari ini selepas menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi penangguhan sementara hukuman penjara sementara pihaknya menfailkan semakan terhadap keputusan itu.

Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil juga menjatuhkan hukuman denda RM2 juta terhadap GSB selepas didapati bersalah terhadap satu pertuduhan menerima deposit tanpa lesen.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM1 juta atau setahun penjara bagi pertuduhan menerima deposit tanpa lesen terhadap setiap tertuduh dan tiga tahun penjara bagi pertuduhan pengubahan wang haram.

“Kedua-dua hukuman itu berjalan berasingan,” kata Hakim Mohtarudin sambil memberitahu hukuman denda tidak sesuai dikenakan bagi kesalahan pengubahan wang haram kerana kesalahan tersebut adalah serius dan melibatkan nilai yang besar.

Beliau juga memerintahkan supaya harta-harta yang menjadi perkara dalam pertuduhan pengubahan wang haram dirampas atau disita.

“Notis siaran pewartaan bagi maksud rampasan harta perlu dikeluarkan bagi prosiding lucut hak harta-harta itu di Mahkamah Sesyen,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menfailkan semakan terhadap keputusan hari ini dan memohon penangguhan sementara hukuman penjara ke atas keempat-empat responden.

Bagaimanapun, Hakim Mohtarudin mencadangkan supaya pihak pembelaan memfailkan permohonan penangguhan hukuman itu secara rasmi bersama-sama notis pendengaran segera.

Keempat-empat responden yang berdiri dalam kandang tertuduh kelihatan sedikit terkejut manakala beberapa anggota keluarga mereka yang berada di mahkamah kelihatan menitiskan air mata semasa polis mahkamah membawa responden ke lokap mahkamah.

Pada 12 Disember 2017, mahkamah mendapati kempat-empat bekas pengarah GSB dan syarikat tersebut bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan pertuduhan menerima deposit tanpa lesen.

Hakim Mohtarudin juga berkata Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati pihak pendakwaan selaku perayu dalam kes ini berjaya membuktikan pertuduhan yang dihadapi kesemua responden melampaui keraguan munasabah.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan membebaskan mereka terhadap daripada pertuduhan itu.

Pada 20 September 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan kesemua mereka selepas mendapati syarikat pelaburan itu hanya menjalankan aktiviti jual beli emas secara fizikal dan tiada bukti bahawa syarikat tersebut mengambil deposit tanpa lesen.

Pada 16 Mei 2013, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebas dan melepaskan keempat-empat individu terbabit selepas mendapati keterangan pembelaan mereka berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan pengubahan wang haram di Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Mereka juga menghadapi pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di premis syarikat di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di Kuala Lumpur, antara November 2008 dan Julai 2009.-BERNAMA

FB Komen

comments