Cerita pengalaman di penjara adalah tauladan

KUALA LUMPUR: Seringkali dijemput berkongsi pengalaman sewaktu dalam penjara, vokalis kumpulan Spring,
Ameng berkata ianya merupakan tauladan yang sepatutnya dijadikan sempadan oleh masyarakat.

Menafikan ianya sebagai rekaan semata-mata Wan Aminuddin Wan Ismail, 52 khususnya pengalamannya disebat 10 kali tidak pernah ditokok tambah.

“Apa yang saya ceritakan dalam ceramah motivasi itu adalah benar dan tidak ditokok tambah. Saya dikenakan hukuman 10 sebatan dan setiap satu dilakukan secara berterusan tanpa henti. Tiada doktor yang membuat pemeriksaan dan memang tak ada ubat yang diberikan.

“Mereka yang menuduh saya sengaja memperbesarkan cerita itulah yang sebenarnya menipu. Penjara itu lebih teruk daripada apa yang orang ramai di luar sana bayangkan,” kata Ameng ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Spring baru-baru ini.

Konsert istimewa yang bakal diadakan di Restoran Terapung D’Saji Titiwangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung 9 Mac depan itu jelas Ameng merupakan julung kali untuknya bertemu kembali anggota kumpulan yang cukup popular dengan lagu Butakah Cinta ini.

Ditanya tidakkah beliau gusar jika cerita disampaikannya itu melanggar etika kerana mendedahkan perkara yang dianggap sulit dan peribadi, penyanyi berasal dari Terengganu ini berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana beliau sudah pun mendapat kebenaran daripada pihak terbabit.

“Ketika dibebaskan, saya ada meminta keizinan daripada pegawai penjara untuk berkongsi pengalaman saya di luar dan mereka membenarkan saya berbuat demikian.

“Malah, mereka juga memberikan kebebasan untuk saya bercerita apa saja, asalkan ia mampu memberi kesedaran dan membuatkan masyarakat takut untuk masuk penjara,” tegasnya yang pernah dijatuhi hukuman lapan tahun dengan 10 sebatan apabila didapati bersalah dalam kes penyalahgunaan dadah.

FB Komen

comments