Hasrat jual barang samun gagal

KAJANG: Cubaan lelaki menjual barangan hasil samun di sebuah laman sesawang membawa padah apabila ditahan oleh mangsa sendiri ketika transaksi jual beli barang berkenaan di Bukit Dukung.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada Rabu, suspek berusia lingkungan 19 hingga 37 tahun itu ditahan oleh orang awam termasuk mangsa, Muhammad Affan Fauzi, 21, seorang jurugambar di sebuah portal, selepas mereka cuba menjual kamera miliknya.

Muhammad Affan berkata, beliau menerima maklumat dari rakannya berhubung penjualan kamera jenis SLR Nikon D800 dipercayai miliknya oleh seorang lelaki di sebuah laman web jual beli dalam talian sejak beberapa hari lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat dan perancangan teliti beliau dan rakannya, Affan kemudian membuat keputusan untuk menjadikan rakannya penyamar yang mahu membeli kamera yang dijual itu.

“Saya agak yakin bahawa kamera yang dijual itu adalah milik saya berdasarkan corak tali dan kesan calar sebelum saya membuat keputusan untuk memasang perangkap terhadap lelaki berkenaan dengan menyamar sebagai pembeli.

“Sepanjang tempoh urusan jual beli itu dilakukan, dia menawarkan harga murah sehingga RM3,500 dan bersetuju untuk menjual kamera berkenaan sebelum kami membuat pertemuan di Bukit Dukung, di sini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Affan kerugian lebih RM15,000 selepas disamun seorang lelaki ketika memberhentikan motosikalnya di bahu jalan di Lebuh Silikon, Serdang Ahad lalu.

Suspek yang kononnya mahu menolong mangsa, bertindak melarikan begnya yang mengandungi kamera, telefon bimbit, komputer riba dan dompet bersama dokumen pengenalan diri serta sejumlah wang tunai.

Muhammad Affan berkata, ketika pertemuan itu, mereka membenarkan saya membuat pemeriksaan nombor siri pada kamera terbabit.

“Pemeriksaan itu mendapati nombor siri kamera berkenaan adalah sama dengan kamera saya selain memiliki corak tali dan kesan calar yang sama.

“Sebaik saya memaklumkan bahawa itu adalah kamera saya, mereka cuba melarikan diri, bagaimanapun mereka berjaya ditahan oleh orang awam termasuk beberapa rakan saya yang turut berada di lokasi kejadian.

“Pergelutan yang berlaku menyebabkan lelaki berkenaan mengalami kecederaan ringan di bahagian muka,” katanya.

Katanya, semua suspek terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

“Saya membuat laporan polis di IPD Kajang dan dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa pihaknya akan membawa ketiga-tiga lelaki berkenaan ke IPD Sepang memandangkan kes samun Ahad lalu berlaku di kawasan Sepang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah stesen minyak di Bukit Dukung, di sini.

“Kami turut merampas tiga telefon bimbit dan sebuah kamera daripada suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

FB Komen

comments