Manja bukan rekaan, kata ‘gadis cendol’

Beberapa hari lalu viral di media sosial video seorang gadis merengek manja kerana kepanasan dan kelaparan menimbulkan pelbagai reaksi netizen sehingga ada beberapa individu yang membuat video parodi mengenainya.

Dalam laporan sebuah portal online, gadis bernama Nur Anizah Tahang, 20, menjelaskan video itu dirakam oleh teman lelakinya, Muhd Aiman Amar Maiyuddin, 20, tidak menyangka video tersebut akan viral sehingga dituduh mengada-ngada dan cuba meraih simpati teman lelakinya itu.

Nur Anizah atau Nija, anak kelahiran Kajang menjelaskan video rengekan manjanya itu dirakam secara spontan dan tidak dibuat-buat. Malah menjelaskan, dia sebenarnya dikenali berperwatakan manja dalam kalangan keluarga dan teman-teman rapat.

“Sesapa yang kenal saya, itu memang diri saya. Bukan dibuat-buat. Sedangkan bunyi guruh pun saya boleh menangis dan duduk diam-diam.

“Saya tidak menjangka pun benda ini nak ‘viral’ sampai ada macam-macam video parodi orang buat pasal saya,” katanya yang mengakui turut menonton semua video parodi yang meniru aksi manjanya.

Walau bagaimanapun, Nija tidak tersinggung dengan video-video tersebut dan menganggap ia sebagai hiburan sahaja.

“Bukan tak kisah, tak ada manusia yang tak ada perasaan. Mungkin ia (parodi) dibuat sebagai ejekan tetapi saya fikir yang positif dan anggap itu semua sekadar suka-suka.

“Saya sebenarnya tengok semua video parodi itu, saya pun gelak,” katanya yang turut meminta maaf jika video rengekan manjanya itu menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

“Saya minta maaf kalau video itu dianggap melampau. Saya tiada niat, bukan sengaja nak buat macam itu, maafkan saya,” katanya.

FB Komen

comments