Pertumbuhan ekonomi tingkat taraf hidup rakyat

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.9 peratus tahun lalu antara yang tertinggi di dunia hasil kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pertumbuhan ekonomi negara yang mapan merupakan faktor bagi membolehkan kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat.

“Apabila asas pendapatan kita kukuh, bukan sahaja golongan B40, malah M40 juga mendapat tempias dan kita sudah mengumumkan pada pembentangan Bajet 2018, cukai pendapatan mereka dikurangkan sebanyak dua peratus.

“Dalam bidang pendidikan pula, setiap pelajar disubsidi RM8,900 setahun dalam usaha kita memberikan pendidikan yang percuma. Kerajaan perkenalkan Program Jualan Sentuhan Rakyat, Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0, ini antara inisiatif kerajaan tangani isu kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian #Bajet2018 Bersama Rakyat mengenai Kesejahteraan Isi Rumah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Tambahnya walaupun banyak keputusan kerajaan yang disifatkan rakyat sebagai tidak popular termasuk memperkenalkan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi namun ianya demi kesejahteraan rakyat semata-mata.

“Banyak keputusan sukar yang saya terpaksa lakukan, sebagai contoh insiden Al-Maunah, MH370, Lahad Datu dan banyak lagi tetapi itu tidak perlu saya ceritakan di sini, saya simpan dahulu untuk memoir saya.

“Jangan risau sebab mandat yang anda berikan sejak tahun 2009, saya akan lakukan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia. Kita tidak boleh fikir masa sekarang tetapi kena fikir masa 30 tahun akan datang, saya percaya kita akan jadi negara maju dan berdaya saing,” katanya.

FB Komen

comments