Wanita India mahu kuota dalam perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR: Kaum wanita dari kalangan masyarakat India menyuarakan hasrat agar kerajaan menaikkan pangkat dan kuota dalam perkhidmatan awam.

Perkara itu disuarakan menerusi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) pada malam Rabu dan mendapat perhatian serta sokongan majoriti peserta yang hadir.

“Antara aspirasi dibangkitkan ialah kuota masyarakat India dalam kerajaan yang perlu ditambah, selain ada mengadu pencapaian akademik anak mereka cemerlang tetapi tidak mendapat peluang dalam bidang dipohon di IPTA.

“Selain itu, mereka mahu peluang kenaikan pangkat bagi mereka yang sudah berjaya meningkatkan tahap pengajian semasa dalam perkhidmatan seperti kenaikan gred daripada Diploma kepada Ijazah,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Terdahulu beliau ditemui pemberita selepas dilaog tersebut diAuditorium Mahsa University, Jalan Universiti.

Subramaniam yang juga merupakan Presiden MIC seterusnya berkata pihaknya akan meneliti kesemua aspirasi dan cadangan yang dibangkitkan sebelum membawa perkara itu kepada pihak berkaitan untuk dipertingkatkan pada masa depan.

“Sebagai contoh, mungkin kita boleh mohon Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meletakkan kelayakan minimum bagi jawatan jururawat ialah Ijazah bagi memastikan gred mereka dinaik taraf seperti yang dilakukan di beberapa negara membangun.

“Ini semua cadangan yang perlu diteliti secara mendalam dan jangka panjang, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan pada masa depan,”ujar beliau.

FB Komen

comments