Izreen berang anak difitnah

KUALA LUMPUR: Pelakon Izreen Azminda menyelar tindakan individu yang cuba memfitnah dan membangkitkan dakwaan tidak masuk akal hanya disebabkan wajah permata hatinya yang berusia empat tahun, seiras cahaya mata pasangan artis, Amar Baharin dan Amyra Rosli.

Izreen bengang apabila dakwaan kononnya dia menjalin hubungan dengan Amar hingga melahirkan anak, bertebaran hingga menjejaskan reputasi dirinya.

“Sampai anak saya awak hendak babitkan. Hendak mengata saya pun mengatalah dan tabur dosa dekat saya saja. Hendak babitkan anak Amar dan anak saya yang tak berdosa ini, kenapa pula?

“Saya berkahwin dengan bekas suami pada 30 Ogos 2012 dan anak saya lahir pada 13 Julai 2013,” katanya menjelaskan perihal anaknya itu melalui perkongsian dalam Instagram.

Dalam entri sama, Izreen turut menyertakan semula foto anaknya, Muhamad Adrian Umar ketika masih bayi bersama bayi Amar, Aqeef Anaqi yang berusia enam bulan, yang sebelum ini dikatakan dikongsi seorang pemilik akaun Instagram tidak dikenali.

Pemilik akaun terbabit mendakwa kononnya ada satu akaun lain yang meletakkan foto anak kedua-dua artis terbabit secara bersebelahan. Individu terbabit dikatakan mengulas kononnya dua kanak-kanak itu seiras serta mendakwa mereka mungkin lahir daripada darah sama.

Enggan berdiam diri, Izreen lantang memberi amaran terhadap pemilik akaun itu,

“Saya diam agak lama. Ada juga yang nak kena tindakan. Jangan ingat saya diam, saya tak ambil peduli. Nampak sangat hati awak busuk sampai pengikut sendiri hantar gambar kepada saya,” luahnya lagi.

Tegas pelakon Surat Panjang Untuk Mak itu, walaupun tidak menyatakan nama, secara terang-terangan foto dan keterangan gambar yang dikongsi individu tidak bertanggungjawab itu merujuk kepada anaknya.

Sebelum ini, Izreen mendirikan rumah tangga dengan jurukamera, Muhammad Riza pada 2012 tetapi berpisah dua tahun kemudian. Pada perkahwinan itu, Izreen dan bekas suami, dikurniakan Adrian.

Ogos tahun lalu, Izreen bertemu jodoh pula dengan pemuzik bebas. Muhammad Radzi Wahid atau Ude.

FB Komen

comments