Pembesaran LTAPP mula tahun ini

GEORGETOWN: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini mengumumkan kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan dimulakan akhir tahun ini.

Jelasnya, kerja naik taraf itu turut membabitkan pembesaran ruang parkir pesawat, kaunter pendaftaran dan parkir kereta bertingkat dengan LTAPP dijangka mampu menampung kapasiti 12 juta penumpang pada masa hadapan.

Menurutnya lagi, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) turut diarahkan untuk menjalankan kerja pembesaran dan pelebaran ruang dalaman LTAPP, membabitkan kos sebanyak RM35 juta yang akan ditanggung sepenuhnya syarikat berkenaan.

“Ruang parkir kapal terbang LTAPP akan dibesarkan kepada 31 lorong, manakala kaunter pendaftarannya ditambah kepada 96 kaunter dan parkir kereta bertingkat dibina dengan kapasiti 1,000 kenderaan.

“Ia juga akan menempatkan Mitsui Outlet yang antara lain muncul sebagai tarikan baharu kepada rakyat dan pengunjung di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA Pulau Pinang.

Pembentangan Bajet 2018 pada tahun lalu memperuntukkan dana sebanyak RM700 juta bagi projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP yang terbahagi kepada beberapa fasa.

FB Komen

comments