Tun M mahu naikkan anaknya

KUALA LUMPUR: Keyakinan DAP bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tetap memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menjadi calon Perdana Menteri pakatan harapan (PH), menimbulkan persoalan mengenai calon timbalannya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, melihat percaturan itu berkemungkinan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi menjawat jawatan perdana menteri selepas ini.

“Lim (Penasihat DAP Lim Kit Siang) berkata, Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) akan ‘berundur’ daripada politik dan tidak menjadi timbalan perdana menteri (kerana) pada masa Anwar menjadi perdana menteri.

“Namun, Lim tidak pula menyatakan siapakah yang akan mengambil alih sebagai timbalan perdana menteri jika Wan Azizah ‘berundur’. Persoalannya, adakah Mukhriz akan mengambil alih jawatan itu?

“Dalam hal ini, ia bukanlah mengenai usaha menyelamatkan Malaysia seperti didakwa Mahathir tetapi untuk menjadikan Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri, laluan pertama sebelum menjadi perdana menteri,” kata Bendahari Umno itu menerusi catatan dalam blognya, sskeruak.blogspot.my hari ini.

Beliau memuat naik catatan itu sebagai mengulas laporan media yang melaporkan keyakinan Kit Siang yang Dr Mahathir akan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi calon Perdana Menteri PH sekiranya mereka menang pada pilihan raya umum akan datang.

Malah menurut Kit Siang, Dr Wan Azizah juga akan dengan ‘gembiranya berundur’ daripada politik dan tidak menjadi timbalan perdana menteri bila situasi itu tercapai.

FB Komen

comments