Jenayah Bitcoin: Polis dan BNM kerjasama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dari segi pengetahuan dan kepakaran bagi menangani jenayah komersial membabitkan mata wang digital atau kripto, Bitcoin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga walaupun kes yang dilaporkan sehingga kini membabitkan jenayah tersebut kurang dari lima.

“Kita sedang menjalankan siasatan ke atas kes penipuan Bitcoin yang dilaporkan. Jumlah kerugian juga amat minimum.

“Walaupun jumlah kes dan kerugian masih terkawal, polis bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) akan memperkasakan anggota serta pegawainya untuk menangani isu ini,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Bukit Aman.

Tahun lalu, BNM dilaporkan bercadang mengeluarkan garis panduan mengenai mata wang kripto dengan memberi tumpuan terhadap aspek antipengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Bitcoin adalah satu daripada mata wang kripto yang lahir secara digital dan digunakan sebagai mata wang untuk memastikan keselamatan suatu transaksi kerana semua transaksi dijalankan menerusi kod.

Pernah dilaporkan, kajian Forum Kewangan Islam 2016 menunjukkan nilai Bitcoin lebih tinggi daripada minyak, emas dan mata wang Euro.

Antara mata wang kripto selain Bitcoin ialah Ethereum, Zcash, Dash, Tezos, Ripple dan Monero.

FB Komen

comments