Azmin didesak dedah dokumen

SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dicabar mendedahkan semua dokumen yang di antara peneroka dan dua syarikat pemaju yang gagal serta perjanjian antara peneroka dengan pemaju berwibawa yang mereka pilih berkaitan isu tanah peneroka di Ijok.

Faekah Husin, pegawai khas kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pelbagai kenyataan berbentuk serangan dan sindiran dilemparkan Khalid, namun tiada satu fakta yang dapat memberi penjelasan sebenar berkaitan isu tanah berkenaan di Ijok.

“Kita mempersoalkan mengapa Kerajaan Selangor culas, bertindak cuai dengan menghentikan proses mahkamah yang diambil terhadap pemaju yang gagal walaupun Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri.

“Mengapa beliau (Mohamed Azmin) memilih jalan yang menguntungkan dua syarikat gagal yang juga penyebab kepada seluruh kemelut tanah di Ijok? Dua persoalan ini tidak terjawab sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya sebagai sebuah kerajaan, mereka perlu tegas dan berani melaksanakan undang-undang dan memastikan kepentingan rakyat terjaga.

“Kita tidak perlu takut untuk menentang dan menghukum mana-mana pihak yang jelas melanggar undang-undang dan mencabul hak rakyat dan negeri.

“Jika pentadbir negeri takut dan akhirnya tidak bertindak mengikut undang-undang, maka selepas ini makin banyak lagi individu yang berani melakukan pelanggaran kerana mereka tahu kerajaan itu lemah dan akan tunduk jika diasak,” katanya.

Justeru, Faekah berkata Mohamed Azmin perlu menyahrahsiakan semua surat, dokumen berkenaan dan mendedahkan kepada rakyat kerana rakyat berhak mengetahui perkara sebenar berkaitan tanah milik mereka.

FB Komen

comments