Jangan ketepi kepentingan nasional – TPM

KUALA LUMPUR: Pandangan yang dibuat walaupun terdapat perbezaan, tidak seharusnya mengetepikan kepentingan nasional, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sebaliknya pandangan dan kenyataan yang dikeluarkan khasnya tokoh terhormat perlu mengambil kira demografi dan kepelbagaian masyarakat negara ini.

“Pada hemat saya, kita tidak perlu membangkitkan sesuatu yang boleh menyebabkan sesuatu kumpulan atau seseorang berasa terhentak hati dengan pandangan itu.

“Apabila seseorang itu berada di peringkat antarabangsa yang seharusnya dihormati, (beliau) tidak seharusnya memihak kepada satu kumpulan saja,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Institut Kepimpinan dan Strategi Asia di sini, malam ini.

Beliau mengulas isu penulis blog www.malaysia-today.net Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa taikun dan pengasas Kuok Group, Robert Kuok, menyalurkan dana kepada pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang baru tiba di lapangan terbang, selepas pulang dari lawatan kerja rasmi sehari di Terengganu, terus menghadiri sambutan itu. -BERNAMA

FB Komen

comments