Juragan seludup minyak, manusia tertangkap

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang lelaki warga Filipina dipercayai menyeludup keluar 1,700 liter minyak petrol dan 10 tong gas cecair (LPG) di perairan Batu 4, Jalan Apas, Tawau, semalam.

Juragan berusia 26 tahun itu turut dipercayai cuba membawa keluar 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Filipina.

Suspek dan semua PATI itu ditahan sepasukan anggota PPM yang menjalankan Operasi Gelora Khas (Op Terancang) selepas melihat bot terbabit dalam keadaan mencurigakan pada jam 10 pagi.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazri Ibrahim, berkata ketika pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui barang kawalan dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina .

“Hasil pemeriksaan mendapati juragan cuba menyeludup keluar 1,700 liter minyak petrol yang diisi di dalam tong dan gelen serta 10 tong gas LPG bernilai RM5,280.

“Semua barang rampasan termasuk bot jongkong serta enjin sangkut bernilai RM36,880 diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan dan Bekalan 1961,” katanya dipetik sebagai berkata.

Mohd Nazri berkata, seramai 14 penumpang bot iaitu sembilan lelaki dan lima wanita warga Filipina berusia 18 hingga 70 tahun, gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Juragan dan semua PATI dibawa ke pangkalan PPM Tawau dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeudupan Migran 2007/2010 (ATIPSOM),” katanya.

FB Komen

comments