Terengganu perlu beri mandat besar pada BN

KUALA NERUS:Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pengundi di Terengganu memberikan mandat lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan kesinambungan kejayaan di negeri tersebut.

Katanya, 144 kisah kejayaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif, sepanjang kepimpinannya sejak hampir lima tahun lalu terbukti mampu untuk terus menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang berdaya maju.

“Tentunya kesinambungan ini dengan mandat yang akan diberikan adalah satu jawapan kepada apa yang sudah dicapai oleh rakyat Terengganu.

“Kita tahu bahawa mandat ini amat diperlukan kerana kita mahu Terengganu ada kerajaan yang lebih mantap,” katanya berucap merasmikan Ekspo Terengganu di Kompleks Sukan Negeri.

Tambahnya, beliau melihat sendiri melihat perkembangan Terengganu yang semakin membangun pada setiap kali lawatannya ke negeri ini.

“Dalam keadaan ini kita lihat ia beri faedah secara langsung dan tidak langsung. Saya lihat setiap kali kunjungan ke Terengganu, pelbagai perubahan dibawa Menteri Besar.

“Tetapi kita jangan biarkan beliau keseorangan. Saya teruja melihat semangat berpasukan dalam Terengganu ini.

“Justeru adalah amat merugikan jika isu titik bengit dijadikan isu pokok,” katanya lagi.

FB Komen

comments