PM sambut baik kenyataan Kuok

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyambut baik kenyataan tokoh korporat, Robert Kuok bahawa beliau menghargai setiap peluang yang diberikan kepadanya, selain mengiktiraf sumbangan masyarakat Malaysia dalam pembangunan negara.

Setiausaha Akhbar Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata Kuok turut menyatakan beliau menghargai pemimpin Malaysia yang sepanjang hidup mereka melakukan apa saja yang mampu untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat negara ini.

Tengku Sariffuddin berkata, kenyataan Kuok itu sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri minggu lalu bahawa walaupun bersikap rajin, berdisiplin dan tekun, bantuan kerajaan tetap menjadi ‘anak kunci’ yang membuka peluang kepada kejayaan itu.

“Perdana Menteri menyatakan dasar kerajaan adalah kunci yang membuka peluang dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pekerjaan yang akan membolehkan individu mencapai kejayaan.

“Beliau mengambil contoh kejayaan Kuok yang menjadi individu terkaya di Malaysia, seorang yang rajin, berdisiplin dan tekun bekerja, yang mencapai kejayaannya selepas mendapat peluang untuk memonopoli perniagaan beras dan gula daripada kerajaan suatu ketika dulu.

“Kejayaan Kuok sebagai usahawan adalah satu cerita kejayaan Malaysia dan ia menjadi inspirasi kepada golongan usahawan untuk berjaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, ketika berucap merasmikan Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat Zon Tengah di Serdang, Perdana Menteri berkata, bantuan kerajaan membolehkan Kuok menjadi individu terkaya di Malaysia walaupun jutawan itu diakui memiliki hak tersendiri dan rajin bekerja.

Sebelum itu, penulis blog, Raja Petra Kamarudin, menerusi portal www.malaysia-today.net, mendakwa Kuok mempunyai agenda menggantikan pemerintahan kerajaan sedia ada dengan DAP bagi membolehkan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.

FB Komen

comments