BN mesti menang perang persepsi, kata Zahid

KUCHING: Kunci kemenangan Barisan Nasional (BN) bergantung kepada kecekapan jentera partinya menguruskan persepsi politik terutama di media sosial bagi kembali meraih sokongan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kegagalan BN dalam pengurusan persepsi pada dua pilihan raya umum (PRU) yang lalu akan membuka peluang kepada pembangkang untuk terus memberikan tanggapan negatif terhadap parti pemerintah.

“Media bukan konvensional dimanipulasi pembangkang sepenuhnya untuk menimbulkan persepsi negatif kepada BN, namun kini BN sudah mengambil langkah proaktif bagi menanganinya.

“Kita yakin perang persepsi akan diperhebat pada saat akhir untuk menidakkan hasil positif pelaksanaan dasar kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Menteri Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal.

Dalam usaha mewujudkan persepsi baik menarik keyakinan pengundi, Ahmad Zahid mahu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP), menghentikan pertelagahan serta bergabung demi memastikan sokongan pengundi Cina kembali kepada BN.

“Maklum balas sudah diperoleh membabitkan cadangan penggabungan dua parti berkenaan dan memang menjadi hasrat BN melihat perkara itu direalisasikan, namun ketika ini usaha kedua-dua parti mesti menjurus kepada kerja pilihan raya.

“Jika ada antara calon daripada dua parti terbabit dipilih bertanding mewakili BN pada pilihan raya umum akan datang, saya berharap mereka saling menyokong demi kemenangan BN,” katanya.

SUPP adalah parti komponen BN Sarawak diterajui Kui Hian manakala UPP adalah parti mesra BN yang belum diterima masuk sebagai komponen diketuai Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.

FB Komen

comments