Di Maria imbangi skuad tempang PSG

PARIS: Angel Di Maria meneruskan rentak cemerlangnya ketika Paris Saint-Germain kehilangan Neymar, Edinson Cavani dan Kylian Mbappe untuk menewaskan Troyes 2-0 menjelang pertembungan penting Liga Juara-Juara dengan Real Madrid.

Pemain Argentina itu menjaringkan gol ke-13 dirinya dalam 14 permulaan tahun ini ketika kunjungan ke Stade de I’Aube semalam, dengan Neymar selesai menjalani pembedahan di kaki kanannya pada hari yang sama.

Pemain kelahiran akdemi Christopher Nkunku meraikan permulaan pertamanya musim ini dengan gol sulung dirinya pada minit ke-77 untuk melengkapkan kemenangan PSG yang meletakkan mereka 15 mata di depan juara bertahan Monaco di puncak Ligue 1.

“Menjelang perlawanan besar dan selepas (kemenangan liga dan Piala Perancis ke atas) Marseille, saya amat gembira kerana kami meningkatkan tahap permainan kami,” kata pengendali PSG Unai Emery.

“Saya mahu pemain-pemain bersedia (menentang Real). Semua pemain mahu beraksi dan ia sukar bagi saya untuk membuat keputusan, tetapi lebih baik begitu.”

Dengan defisit 3-1 perlu dipadamkan pada aksi timbal balik kelompok 16 terakhir menentang Real Selasa ini, Emery enggan mengambil risiko dengan menurunkan Cavani semalam manakala Mbappe tinggal di Paris untuk meneruskan rawatan bagi kecederaan buku lali yang dikutip ketika menentang Marseille pada pertengahan minggu.

Marco Verratti juga direhatkan dalam kunjungan ke Troyes, dan Di Maria memastikan ketiadaan Neymar tidak dirasai dengan mempamerkan persembahan meyakinkan.

“Angel adalah tonggak penting yang mempunyai kualiti untuk melakukan perubahan,” kata Emery. “Dia mempunyai keyakinan dan keazaman. Kami mahu pemain-pemain berada pada tahap terbaik mereka Selasa ini, dan bagi sesetengah pemain seperti Angel, ia akan menjadi saat istimewa.”-AFP

FB Komen

comments