FELDA dapat semula tanah minggu depan

KLUANG: FELDA ‘menggenggam’ kembali tanahnya yang bernilai RM270 juta di Jalan Semarak secara rasminya minggu depan, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Pemulangan semula hak milik tanah berkenaan katanya, adalah bukti usaha bersungguh dan berterusan FELDA dalam menjaga harta miliknya, di samping kebajikan peneroka.

“Insya-Allah FELDA akan dapat kembali hak milik tanah Jalan Semarak secara rasmi pada minggu hadapan.

“Proses penukaran nama hak milik geran tanah ke atas nama FELDA sedang dilaksanakan minggu ini dan dijangka selesai dalam masa terdekat, semua tanda tangan yang diperlukan kita sudah dapat.

“Kita jangkakan Isnin minggu depan, semuanya selesai dan geran hak milik akan kembali di atas nama FELDA, ” katanya selepas perasmian Karnival Orang FELDA Sembrong Kita di padang FELDA Ulu Penggeli.

Januari lalu, sebuah portal online melaporkan FELDA akan memperoleh kembali tanahnya di Jalan Semarak tanpa kos daripada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Kontroversi membabitkan tanah FELDA tercetus selepas BH mendedahkan FELDA berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembangunan KLVC menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

FB Komen

comments