Hishamuddin berdoa MH370 terungkai

KLUANG: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berdoa agar misi pencarian MH370 yang kini dikelola oleh Ocean Infinity akan memberikan jawapan kepada persoalan selama ini.

Ujarnya bukan hanya dirinya, malah semua rakyat Malaysia yang lain terutama waris dan keluarga terbabit terkesan dengan tragedi itu.

“Tragedi MH370 memang amat dekat di hati saya. Saya selalu berdoa supaya ada pengakhiran yang boleh disimpulkan supaya waris dan keluarga mendapat jawapan yang sebenar.

“Saya masih ingat lagi ketika mengendalikan kehilangan pesawat itu sewaktu memangku jawatan Menteri Pengangkutan, saya meletakkan kedudukan keluarga penumpang MH370 sebagai keutamaan.

“Kalau saya berada dalam keadaan keluarga, sudah pasti saya juga akan tertanya-tanya sama ada siasatan atau misi pencarian akan mendapat hasil sekali gus memberi kelegaan dan penutup terhadap semua penderitaan yang ditanggung,” katanya yang ketika tragedi itu berlaku memegang tugas sebagai Menteri Pengangkutan.

Beliau berkata demikian di selepas merasmikan Karnival Orang FELDA Sembrong Kita di FELDA Ulu Penggeli,

Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada tengah malamnya.

Januari lalu, Syarikat eksplorasi persendirian, Ocean Infinity memulakan misi mencari MH370 dan menyasar untuk menemui bangkai pesawat itu dalam tempoh Jun atau Julai tahun ini.

FB Komen

comments