Kontreversi tidak patut jejas PASKAL, Ammar

KUALA LUMPUR: Pelakon yang membintangi filem kisah kehidupan anggota Pasukan Khas Laut PASKAL enggan kontreversi peribadinya sebelum ini menjejaskan prestasi filem itu.

Ammar Alfian, 30 berkata kisah sensasi membabitkan dirinya hanya bersifat peribadi.

“Saya cuma bergaduh dengan orang, tetapi tidak sampai masuk penjara. Saya tidak pernah terbabit dengan dadah atau diheret ke balai polis atas kesalahan jenayah.

“Ada pelakon lain berdepan masalah lebih besar, tetapi masih diberi publisiti. Jadi, adilkah jika saya terus dipersalahkan hanya kerana kesilapan lalu?” katanya dipetik sebagai berkata.

Mengenai pembabitannya dalam filem itu, Ammar berkata, selepas sedekad menceburkan diri dalam bidang lakonan, dia sentiasa mengimpikan watak yang mencabar kemampuan.

“Sebelum ini, saya menolak banyak tawaran kerana sering diberi karakter klise. Watak Jeb dalam filem ini sudah lama saya tunggu.

“Berbaloi penantian saya apabila watak ini memerlukan saya melakonkan babak aksi,” kata Ammar yang pernah membintangi filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie.

Ammar berkata demikian ketika hadir pada majlis pelancaran filem PASKAL yang disempurnakan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) , Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

PASKAL yang diarah Adrian Teh membariskan pelakon seperti Hairul Azreen, Henley Hii, Gambit Saifullah, Taufiq Hanafi, Hafizul Kamal dan Theeban G.

Filem membabitkan kos RM10 juta itu bakal menjalani penggambaran di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Lumut, Kota Kinabalu, Semporna dan Maghribi.

FB Komen

comments