Kuota tambahan buat Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan akan mendapat kuota tambahan dalam temasya Sukan Komanwel Gold Coast pada April ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo selepas MOM mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sukan Komanwel.

Justeru bukan hanya pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli, malah atlet yang mengemukakan rayuan seperti dari sukan menembak, pingpong dan triathlon turut mempunyai peluang yang sama.

“Senarai atlet ke Komanwel akan dimuktamadkan Selasa ini. Saya harap semua atlet bersabar.

“Memang sukar untuk membuat pilihan apabila penganjur mengemukakan kuota atlet, kerana kita juga perlu memberi peluang kepada atlet muda sebagai persediaan masa depan.

“Bukan hanya Komanwel tapi untuk temasya lain seperti Sukan Asia dan Sukan SEA,” katanya yang ditemui pada acara larian sempena Sukan Asia Indonesia-Palembang yang berlangsung di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun keputusan hanya akan dibuat Selasa ini selepas Lembaga Eksekutif MOM bermesyuarat.

FB Komen

comments