PRU14: KJ harap calon muda tidak dikurangkan

TAPAH: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin menyuarakan harapannya agar jumlah calon dari kalangan generasi muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak dikurangkan seperti mana pilihan raya yang lalu.

“Harapan saya lebih ramailah yang dicalonkan. Kita harap jumlahnya tak kurang daripada yang lepas kalau, boleh lebih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Sukan Tapah di Tapah Road di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan lebih ramai calon orang muda diketengahkan pada PRU kali ini.

Sebelum ini, Pemuda UMNO menuntut lebih 40 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan kepada calon orang muda pada PRU akan datang.

Tuntutan itu dilihat seiring dengan pandangan UMNO sebagai parti masa depan dengan memberi laluan kepada calon muda.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau mempunyai cara tersendiri dalam mengetengahkan dan menyuarakan isu berkenaan calon muda kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Tapi saya faham, kerana sekarang semua (pihak) tengah desak PM (Perdana Menteri). Wanita tengah desak PM, penyandang tengah desak PM, orang lama tengah desak PM, orang muda tengah desak PM.

“Saya ada caralah untuk bincang dengan PM, tak perlu berbincang secara terbuka melalui media,” katanya.

FB Komen

comments