Siasatan elajar kena mesin pemotong akan diumum

NILAI: Hasil siasatan dan tindakan Kementerian Pendidikan berhubung tragedi seorang pelajar perempuan maut terkena bilah mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, akan ditetahui dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata kementerian sudah menerima hasil siasatan beberapa pihak termasuk polis dan sekolah berhubung kejadian itu dan sedang menelitinya.

“Kita (kementerian) menggabungkan semua hasil siasatan berkenaan untuk diteliti terlebih dahulu dan seterusnya melihat apa tindakan yang boleh diambil.

“Kemudian, kita akan umumkan (keputusan siasatan penuh) dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini,” katanya pada sidang media pada Program Budayakan Hidup Lestari Mendaki Bukit Melati, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, 13 Februari lalu, pelajar tingkatan dua, Nur Afini Roslan, 14, maut selepas kepalanya terkena bilah pisau mesin rumput yang ditarik menggunakan traktor di padang sekolah ketika menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan.

Dua rakannya, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pula cedera ringan dalam kejadian itu.

 

FB Komen

comments