Agong rasmi pembukaan sidang Parlimen

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal keenam Parlimen Ke-13 di Dataran Parlimen di sini, pagi ini.

Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V pada jam 10.43 pagi tadi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri SA Vigneswaran.

Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sultan Muhammad V menerima sembah ‘Hormat Diraja’ daripada Mejar Azlan Shah Baharom yang mengetuai barisan kawalan keselamatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Selepas itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD diketuai Mejar Muhamad Nor Azizan Yahya diikuti tembakan meriam 21 das.

Baginda kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat utama terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai Batalion Pertama RAMD diketuai Azlan Shah.

Selesai istiadat, Sultan Muhammad V kemudian diiringi ke Bilik Diraja untuk bergambar sebelum ke Dewan Rakyat bagi menyampaikan titah ucapan perasmian.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 5 April, manakala Dewan Negara dari 16 April hingga 30 April selama sembilan hari.

FB Komen

comments