5 kelemahan besar Kerajaan Selangor

KUALA KUBU BAHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan masalah bekalan air dan kos harga rumah yang tinggi, antara lima kelemahan besar gagal ditangani kerajaan pakatan pembangkang di Selangor.

Selain itu, berdasarkan kajian, Perdana Menteri berkata, kelemahan lain kerajaan negeri adalah mengenakan cukai yang membebankan rakyat Selangor, pengurusan sampah yang lemah dan gagal menguruskan sungai dengan baik sehingga membawa kepada peningkatan penyakit berjangkit.

“…air gagal diuruskan kerajaan negeri, tengok sahaja pembangkang di Kelantan kita (Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri) boleh uruskan air tetapi di sini (Selangor) mereka utamakan politik, bukan hal rakyat.

“SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) memaklumkan ada enam daerah yang kritikal, cemas, ibarat telur di hujung tanduk, sebab bekalan air lemah, kualiti semakin teruk, tekanan rendah, bil kelam-kabut dan khidmat servis tidak baik…inilah kisah pentadbiran air di Selangor,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Selangor di Dataran Kampung Sungai Chik, Ulu Yam Baharu di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi BN Selangor yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar; Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Ketua Wanita BN Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim; Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk P Kamalanathan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan serta ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Berucap di hadapan kira-kira 5,000 jentera dan penyokong BN Selangor, Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN, berkata lima kelemahan tersebut perlu dikupas dan diterangkan kepada rakyat negeri itu, agar mereka tidak terus tertipu dengan janji pembangkang.

Perdana Menteri memberi jaminan, semua kelemahan terbabit boleh diselesaikan oleh BN, sekiranya berjaya mendapatkan semula kuasa politik di negeri ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, untuk pengurusan Lembah Klang yang merangkumi Kuala Lumpur dan Selangor ia mesti dilaksanakan secara bersepadu di bawah satu pentadbiran kerajaan iaitu BN.

Katanya, pentadbiran Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh diasingkan kerana kebanyakan projek pembangunan seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan kedua-dua kawasan ini.

“Selangor dan Kuala Lumpur tidak boleh diasingkan. Jangan fikir bahawa masa depan negara kita diuruskan dengan baik kalau kita nak buat Selangor lain Kuala Lumpur lain, tidak boleh. Kena bawah satu kerajaan, kerajaan BN,” katanya. – BERNAMA

FB Komen

comments