Manifesto pembangkang hanya janji kosong

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang akan diumumkan esok sekadar janji kosong dan sebuah manifesto lama yang dikitar semula.

Meskipun belum mengetahui kandungan manifesto berkenaan, Idris berkata, gabungan diketuai DAP itu perlu memberikan pendidikan percuma di negeri ditadbir mereka dulu sebelum menjanjikan pendidikan percuma dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pembangkang hanya tahu membangkang dan sekadar menabur janji kosong, yang dulu pun mereka tidak buat tetapi sudah berjanji yang baharu.

“Mungkin mereka akan mengulangi janji lama memberikan pendidikan percuma dan jika itu antara manisfesto mereka, kita minta mereka laksanakan di Selangor dulu,” katanya kepada media selepas program Sesi Dialog Universiti-Industri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai satu daripada manifesto pembangkang yang digembar-gemburkan sebelum ini bagi menawarkan pendidikan percuma jika memenangi PRU-14 nanti.

Idris berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah menawarkan pendidikan dengan yuran pengajian sangat rendah dan tidak pernah dinaikkan sejak 20 tahun lalu.

Katanya, kadar itu masih dikekalkan sehingga kini, malah pelajar hanya dikenakan bayaran antara lima hingga 10 peratus daripada kos keseluruhan pengajian.

“Jika kita lihat pelajar yang mengambil kursus perubatan hanya perlu membayar antara RM15,000 hingga RM18,000 untuk lima tahun berbanding kos keseluruhan mencecah RM300,000.

“Manakala mereka yang mengambil kursus kejuruteraan pula perlu membayar tidak sampai 10 peratus dan yuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta politeknik pula hanya RM200 sepenggal,” katanya.

Beliau berkata, meskipun yuran dikenakan sangat rendah, namun kerajaan sentiasa komited menyediakan pendidikan terbaik dan bertaraf dunia.

FB Komen

comments