85% disasar keluar mengundi pada PRU14

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 85 peratus daripada pengundi berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, usaha itu hanya akan tercapai dengan sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya pihak media.

“Tambahan pula situasi politik yang berkecamuk dan adanya usaha pihak-pihak tertentu untuk memprotes dengan tidak keluar mengundi dan merosakkan undi akan menjejaskan peratusan keluar mengundi pada PRU14 nanti,” kata beliau semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kempen ‘Jom Semak Dan Jom Kita Mengundi’ di SPR di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata, SPR mengadakan mesyuarat itu untuk menggerakkan kempen bagi menggalakkan pengundi berdaftar membuat semakan berkaitan maklumat pengundian mereka.

Di samping itu, ia juga untuk menggalakkan mereka supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian nanti semasa PRU14.

PRU bakal berlaku pada bila-bila masa sahaja. Jadi adalah penting pengundi menyemak status pengundian masing-masing sebelum pilihan raya supaya mereka tahu maklumat tepat pengundian mereka agar (proses) pengundian berjalan lancar, kata beliau.

Katanya sehingga Suku Tahun Keenpat 2017 terdapat hampir 15 juta pemilih yang layak mengundi. – Bernama

FB Komen

comments