Kerajaan negeri Selangor lemah, punca tiada air, Wan Junaidi

SERDANG: Masalah bekalan air yang dihadapi di Selangor kini menunjukkan kelemahan dan ketidakcekapan kerajaan negeri dalam mengurus keperluan asas untuk rakyat, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, gangguan bekalan air yang dihadapi negeri itu sekali gus telah menyukarkan dan menjejaskan kehidupan harian rakyat.

“Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam isu sumber air ingin menjelaskan bahawa negara kita tidak menghadapi isu bekalan air, apa yang terjadi di Selangor adalah kerana kegagalan pengurusan air,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, masalah bekalan air terjejas yang disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan kemudian disusuli dengan insiden sistem mampatan udara di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang pecah menunjukkan terdapat kelemahan dari sudut pengurusan air oleh kerajaan negeri Selangor.
“Ini perlu diperbaiki, dan kalau kerajaan Selangor betul-betul mahu menjaga kebajikan termasuk pembekalan air kepada rakyat, pengurusan, penyelenggaraan dan perkhidmatan air mestilah diambil secara serius supaya tidak terjejas kehidupan harian masyarakat,” katanya.

Gangguan bekalan air yang melibatkan beberapa daerah di sekitar Lembah Klang sejak Rabu lepas dijangka berlaku lebih lama daripada tempoh jangkaan sebelum ini berikutan Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air SSP3 pecah pada Rabu.

“Saya lihat isu ini ada kelemahan, apabila kerja penyelenggaraan hampir selesai dan pembekalan semula baru hendak dimulakan, bagaimanapun paip itu pecah. Kenapa boleh pecah? Dan kalau paip itu dijaga dengan betul ia tidak akan pecah,” kata Wan Junaidi.

FB Komen

comments