130 pendaki dibawa turun malam ini

KOTA KINABALU: Ekoran gempa bumi yang berlaku di Ranai malam tadi, 130 pendaki Gunung Kinabalu yang kini berada di Laban Rata dilaporkan dibawa turun dengan kadar yang segera, kata Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais.

Jelasnya, pihaknya sudah mengarahkan pasukannya untuk melaksanakan kerja menyelamat dan membawa turun semua pendaki terbabit.

Beliau berkata, pemeriksaan sedang dijalankan di Gunung Kinabalu bagi mengetahui kesan gegaran akibat gempa bumi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, pula berkata aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu digantung sementara susulan gempa bumi sederhana di Ranau.

Pengerusi Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan, ketika dihubungi berkata maklumat awal dari petugas di Gunung Kinabalu menyatakan keadaan semasa dilaporkan selamat.

“Semua pendaki telah diminta berkumpul di tempat selamat,” katanya.

Malim Gunung, Richard Soibi, berkata pihaknya bersedia untuk membantu operasi menyelamat sekiranya berlaku kemalangan di Gunung Kinabalu akibat gempa bumi berkenaan.

“Semua bimbang apabila berlaku gegaran yang agak kuat tadi. Namun setakat ini belum ada maklumat berkaitan kemalangan membabitkan pendaki dan malim gunung.

“Kami semua menunggu berita dari gunung mengenai keadaan di sana,” katanya.

FB Komen

comments