Bakal guru perlu ada ciri kepimpinan

KUALA LUMPUR: Bakal guru harus memiliki beberapa ciri yang mempamerkan kepimpinan dan kebijaksanaan dalam membentuk anak-anak bangsa Malaysia bagi membina negara bangsa.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ciri-ciri kepimpinan itu juga membabitkan pembangunan modal insan dan sahsiah diri.

“Seorang guru juga harus memiliki kebijaksanaan dalam urusan berkaitan ekonomi, politik dan negara malah apa juga yang boleh membawa kejayaan kepada diri dan negara.

“Justeru, siswa hari ini perlu bersiap sedia menghadapi Industri Revolusi 4.0 apabila dunia pendidikan akan datang bakal beralih dari buku teks kepada tanpa kertas dan memasuki digital,” katanya selepas merasmikan Program Konvensyen Kepimpinan Siswa Guru Kebangsaan 2018 (KOSIG’18) di Akademi Kenegaraan Kuala Lumpur.

Bertemakan Siswa Guru Pemacu Aspirasi TN50, KOSIG’18 yang berlangsung semalam sehingga 10 Mac ini dihadiri lebih 250 peserta Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) lPGM seluruh Malaysia.

Penganjuran program ini bertujuan menyediakan platform berbeza untuk melahirkan pemimpin siswa yang mempunyai aras pemikiran intelektual menerusi perkongsian intelektual bersama tokoh pemimpin negara.

FB Komen

comments