Nabil dan peminat tunai umrah

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad bersempena bulan Ramadan yang akan berlangsung bulan depan mengajak peminat untuk menunaikan umrah.

Bakal dipaparkan dalam program My Umrah Story, Nabil menganggap peluang mengerjakan ibadat itu bersama peminat pada bulan puasa sebagai cukup istimewa.

“Umrah adalah jalan terbaik untuk merealisasikan impian semua orang. Ini adalah peluang kepada mereka yang mahukannya. Kali pertama saya beri hadiah istimewa ini kepada peminat sejak jadi anak seni.

“Saya pilih untuk berpuasa bersama peminat di Tanah Suci. Ini tanda penghargaan buat peminat dan saya mahu berkongsi pengalaman yang diperoleh di sana dengan mereka,” katanya pada sidang media di sini, petang ini.

Mengimbau kenangan menjadi anak seni, bekas penghantar barang ini berkata, biarpun sudah mencapai kejayaan dalam karier, beliau tidak pernah lupa asal-usulnya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kehidupan sekarang lebih baik daripada dulu. Saya mampu memiliki apa yang saya mahu.

“Dulu gaji saya antara RM500 ke RM600, saya serah kepada emak dan tinggal RM50 dalam dompet. Malah, saya pernah rasa bagaimana duit tinggal RM5.

“Kenangan itu yang menjadikan saya kuat dan tidak lupa siapa yang membantu dan pernah susah bersama saya dulu. Mereka ini saya masih ingat dan berkawan baik sampai sekarang,” katanya.

FB Komen

comments