PPBM berhimpun di Parlimen

KUALA LUMPUR: Lebih kurang 4,000 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan berhimpun di depan bangunan Parlimen di sini sebagai tanda protes terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana masih membisu berhubung aduan terhadap parti yang didakwa melanggar Perlembagaannya.

Bekas EXCO Pemuda PPBM, Muhd Syazwan Ahmad Zainal, berkata pihaknya akan mengumpulkan semua ahli parti yang teraniaya bagi mendesak jawapan ROS mengapa tiada tindakan dibuat terhadap parti dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad itu walaupun pelbagai bukti telah dise­rahkan kepada ROS.

“Kita sudah beri tempoh yang cukup lama kepada ROS sejak Disember lalu malah turut mengadakan beberapa Himpunan Aman sebelum ini namun jabatan itu masih terus membisu enggan memberikan sebarang jawapan mengenai status PPBM sama ada ia sah atau tidak.

“Kali ini kita nekad untuk adakan himpunan aman membabitkan 4,000 ahli di hadapan bangunan Parlimen pada waktu terdekat sekiranya mereka masih tidak bertindak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Mengulas lanjut Muhd Syazwan berkata, sebagai ahli parti mereka berhak mendapat penjelasan konkrit dan terperinci daripada ROS kerana mahu mengetahui isu sebenar yang berlaku daripada pemimpin sehingga ke peringkat akar umbi.

“ROS tidak sepatutnya berselindung dan sebagai sebuah jabatan kerajaan, mereka sepatutnya melaksanakan tugas secara efektif sebagaimana dipertanggungjawabkan untuk menjaga pertubuhan dan parti politik.

“Jika gagal, lebih baik tutup saja ROS dan wujudkan Suruhanjaya Pertubuhan Malaysia kerana sebagai jabatan mungkin mereka masih takut untuk bertindak,” katanya sambil memberitahu tarikh perhimpunan akan diumumkan kelak selepas mendapat permit polis.

Katanya, ROS sudah menerima lebih 400 aduan daripada ahli-ahli PPBM berkenaan isu perlanggaran perlembagaan parti namun jabatan masih tidak memberi sebarang jawapan berhubung kedudukan parti.

FB Komen

comments