Selangor gagal halang SPR

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri Selangor gagal mendapatkan membuat rayuan untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan inkuiri tempatan bagi cadangan proses persempadanan semula di negeri itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, bersama-sama Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha, sebulat suara menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu.

Raus dalam penghakimannya berkata, panel sebulat suara menolak rayuan pemohon Selangor kerana potensi untuk perayu adalah tipis jika kebenaran diberikan.

Terdahulu, Peguam Datuk S Ambiga yang mewakili kerajaan negeri, dalam hujahnya berkata, pihaknya merayu menggantung sementara inkuiri tempatan dan mengekalkan status quo sehingga rayuan utama mereka dalam permohonan semakan kehakiman membabitkan proses persempadanan semula didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan.

Ambiga berkata, SPR mempunyai masa sehingga September tahun ini bagi menjalankan proses persempadanan semula.

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching, bagi pihak SPR dalam hujahnya berkata, SPR tidak boleh dihalang daripada menjalankan tugas mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan pada 18 Disember tahun lalu, membenarkan permohonan SPR mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membenarkan permohonan kerajaan negeri menggantung sementara inkuiri tempatan di negeri terbabit.

Mahkamah Tinggi pada 7 Disember tahun lalu membenarkan permohonan Selangor untuk menggantung sementara inkuiri tempatan selepas menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan negeri itu bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN yang dijalankan SPR.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan, membuat keputusan itu selepas mendapati ia terikat kepada dua keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa kerajaan negeri tiada hak dari segi Perlembagaan, untuk mencabar kemunasabahan cadangan persempadanan semula, walaupun skop semakan kehakiman sudah diperluas.

FB Komen

comments