Anak marah tak ajak berlakon, Tomok

KUALA LUMPUR: Penyanyi Tomok mengakui rindu untuk kembali beraksi di depan kamera sebagai pelakon.

Bagaimanapun ujar lelaki berusia 34 tahun ini, tanggungjawab dan komitmen terhadap keluarga membatasi masanya untuk kembali ke set penggambaran.

“Tidak dinafikan saya dah lama tak berlakon dan ada beberapa tawaran yang datang terpaksa saya tolak.

“Buat masa ini memang agak sukar untuk saya terima kerana saya dan isteri uruskan anak bersama dan kebetulan Arrian sudah pun bersekolah. Jadi saya perlu ambil dan hantarnya ke sekolah dan masa agak terhad.

“Bagaimanapun sekiranya ada tawaran yang betul-betul akan memberi impak, saya bersedia untuk menimbangkan tawaran tersebut. Tidak dinafikan saya rindu, sebab dah lama sangat tak berlakon,” katanya yang kali terakhir muncul menerusi telefilem Cupcake Mama pada 2014.

Berkongsi perkembangan terkininya, Tomok berkata, dia kini dalam proses perbincangan dan pembikinan album solo ketiganya.

“Saya baru sahaja berbincang dengan Aubrey Suwito mengenai konsep dan lagu yang akan dimuatkan di dalam album kali ini.

“Apa yang pasti saya serahkan kepadanya bagaimana konsep album ini nanti, tapi apa yang pasti akan ada 10 lagu dan saya juga akan tampil dengan kelainan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Konsert Hora Horey Didi And Friends.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam filem animasi terbitan Digital Durian yang disiarkan bermula 10 Mac lepas, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail berkata, dia tidak berfikir panjang sebelum menerima tawaran itu.

“Saya menjadi satu-satu watak yang realiti di dalam filem berkenaan dan bila dah bergelar ayah, animasi Didi & Friends ini bukan asing buat saya.

“Malah ketika proses pembikinan, saya tidak ambil masa untuk merakam lagu tetapi proses penggambaran sedikit mencabar kerana saya perlu beraksi di depan layar hijau dan membayangkan Didi, Nana dan Jojo ada bersama saya.

“Lucunya ketika kali pertama membawa Arrian ke studio Digital Durian, dia memarahi saya kerana tidak ajaknya untuk berlakon sama di dalam filem ini,” ujar bapa kepada Arrian Shah Akid, 6, dan Andrashah Iman, 4 tahun.

FB Komen

comments