Belia muda perlu jadi pengguna internet yang bijak, kata Rosmah

SERDANG: Datin Seri Rosmah Mansor menyeru golongan belia dalam negara untuk menjadi pengguna internet yang bertanggungjawab dan tahu membezakan di antara fitnah dan fakta yang dengan mudah tersebar di laman sosial.

Ujarnya isteri kepada Perdana Menteri itu, generasi muda kini perlu disemai etika siber untuk membantu mereka mengesan dan mengelakkan buli serta gangguan jenayah siber.

“Akibatnya, wujud cabaran yang perlu ditangkis belia apabila membabitkan ancaman keselamatan, perlindungan, keamanan dan keharmonian negara.

“Ruang siber mampu menjadikan dunia hari ini berpecah belah, tidak aman dan kurang selamat bagi generasi sekarang dan akan datang,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kepemimpinan Pelajar untuk Keamanan yang bertemakan “Pembinaan Negara Melalui Budaya Hati” di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Rosmah turut menyuarakan rasa kecewanya apabila berita palsu mengenainya, viral di media sosial, selain menyelar sikap masyarakat yang mudah berkongsi berita tanpa merujuk perkara sebenar.

“Hanya dengan satu butang, hampir semua lapisan masyarakat mampu mengakses kandungan berkenaan tanpa memikirkan akibatnya.

“Maklumat dan berita palsu ini sukar diperbetulkan sebaik saja ia terpapar di media sosial. Kandungan berbahaya itu boleh mengganggu kestabilan ekonomi dan menjejaskan keamanan dan keharmonian negara,” katanya.

Rosmah menyifatkan inisiatif seperti kempen Cybersafe dengan pembabitan aktif belia harus dijalankan secara kerjasama membabitkan sektor awam, swasta dan orang ramai.

Katanya, kempen sedemikian boleh meningkatkan kesedaran mengenai ancaman siber, selain membekalkan pengetahuan serta kemahiran kepada belia untuk memastikan mereka selamat dalam talian, sekali gus menggunakan media sosial secara positif dan produktif.

FB Komen

comments