Empat pingat emas badminton dalam genggaman

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menaruh harapan bahawa jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan memberi kilauan emas kepada kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

BAM yang awalnya meletakkan sasaran tiga pingat emas daripada acara berpasukan campuran, beregu lelaki dan beregu wanita bagaimanapun mengkaji semula sasaran dengan meletakkan acara perseorangan lelaki yang diwakili pemain nombor dua dunia itu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau percaya Chong Wei mampu lakukan yang terbaik dan menambah bilangan pingat emas kepada skuad badminton negara.

“Saya tahu dia (Chong Wei) mampu namun kita tidak mahu beri dia tekanan dengan meletakkan sasaran ke atasnya dan sasaran tiga pingat emas pada awalnya itu adalah realistik.

“Sasaran tersebut adalah berdasarkan kepada persediaan yang cukup lengkap dan teliti oleh pemain kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BAM dan Sen Heng Malaysia.

MoU itu adalah bagi tempoh dua tahun sehingga 2019 melibatkan tajaan perkakasan elektrik bagi kejohanan-kejohanan anjuran BAM dan latihan pemain-pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Mohamad Norza berkata jika acara perseorangan lelaki berjaya meraih pingat emas, ia merupakan satu bonus ekoran pemain perseorangan lelaki negara akan menerima saingan sengit daripada pemain India.

Chong Wei yang dipetik media tempatan pada Khamis, meletakkan sasaran untuk meraih dua pingat emas, sekali gus menjadi atlet terbaik negara dalam sejarah Sukan Komanwel nanti.

Untuk rekod, BAM menyenaraikan lima pemain lelaki dan lima pemain wanita ke temasya berkenaan dengan diketuai oleh Chong Wei, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Chan Peng Soon, Tan Kian Meng, Goh Liu Ying, Lai Pei Jing, Goh Jin Wei, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei.

Pada edisi empat tahun lepas, Malaysia meraih emas menerusi gandingan V Shem-Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian-Khe Wei (beregu wanita) dan berpasukan campuran.

Pada 2010 Malaysia berjaya meraih empat emas iaitu pencapaian terbaik di Komanwel menerusi Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki), Chin Eei Hui-Koo Kien Keat (beregu campuran) dan berpasukan campuran. – Bernama

FB Komen

comments