Hari pertama KL Special Force kutip hampir RM1 juta

KUALA LUMPUR: Filem ketujuh arahan Syafiq Yusof, KL Special Force mengutip kira-kira RM900,000 menerusi tayangan lewat malam (Rabu) dan hari pertama, Khamis lalu.

Penerbit filem berkenaan, Datuk Yusof Haslam berkata, dia juga menerima respons yang cukup positif daripada penonton dari malam gala filem berkenaan yang berlangsung pada hari Isnin lepas.

“Alhamdulillah kutipan filem KL Special Force hampir menyamai kutipan hari pertama Abang Long Fadil 2.

“Saya juga menerima respons yang cukup positif dari Isnin lalu dan juga dari mereka yang membeli tiket dan menonton filem ini di pawagam,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun Yusof enggan meletakkan kutipan sasaran bagi filem terbaru terbitan Skop Production, Damofa Productions dan Viper Studios itu.

“Kalau kita meletakkan sasaran kutipan, kita ibarat melangkaui kuasa Tuhan pula. Lagipun isteri saya ada berpesan, kalau kita buat filem, tak perlu letak berapa sasaran kutipan. Ia macam riak pula.

“Jadi kami hanya berserah dan berharap filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai filem terbaru anaknya itu, Yusof berkata, dia memuji keberanian Syafiq dalam menghasilkan sebuah karya yang berbeza.

“Saya puji bukan sebab dia anak saya dan apa yang saya katakan ini adalah apa yang orang lain cakap kepada saya.

“Bagi saya Syafiq cukup berani dan kreatif dalam menghasilkan sebuah karya yang berbeza. Kalau saya, saya lebih suka hasilkan karya yang straightforward.

“Tapi Syafiq pernah kata kepada saya, ‘papa kita kena hasilkan sebuah karya yang berbeza dan berani kerana penonton kita mahukan sesuatu yang berbeza’ dan ternyata apa dia cakap ada betulnya,” ujarnya.

Filem KL Special Force menyaksikan gandingan hero Malaya, Datuk Rosyam Nor bersama bintang popular, Fattah Amin, yang turut dibantu pelakon lain seperti Tania Hudson, Esma Danial, Sabrina Ali, Ramona Zamzam, Puteri Balqis, Josiah Hogan dan ramai lagi.

FB Komen

comments