Kerajaan Selangor utamakan politik berbanding rakyat

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor dibidas kerana hanya memperjuangkan politik berbanding masalah rakyat yang sepatutnya diutamakan.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar pada akhirnya sikap kerajaan negeri yang hanya memburukkan dan memfitnah kerajaan persekutuan memberi kesan kepada rakyat Selangor yang terpaksa menanggung derita akibat masalah air yang gagal diselesaikan.

“Isu air pun tak boleh nak selesaikan. Di tambah pula dengan masalah sampah dan pengurusan stadium. Langsung tak pandai mengurus,” katanya kepada pemberita.

Noh berkata, beliau turut mendapat aduan daripada penduduk di luar bandar mengenai cara Kerajaan Selangor menguruskan bil di kawasan itu melalui Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

“Kalau dulu SYABAS pergi baca meter di rumah terus dapat bil. Sekarang SYABAS pergi membuat bacaan meter dan balik ke pejabat seterusnya menghantar bil melalui pos.

“Saya nak cakap kepada Kerajaan Negeri, bil pengguna di luar bandar ada yang tidak sampai terus ke rumah mereka. Bil akan dihantar di kedai, masjid dan surau.

“Disebabkan itu, mereka tidak dapat surat berkenaan. Tiba-tiba bekalan air mereka dah kena potong sebab tak bayar bil berikutan surat tak sampai,” katanya.

Terdahulu Noh membuat lawatan turun padang dan menyampaikan bekalan air kepada penduduk Shah Alam di Tapak Pasar Malam Seksyen 17, di sini, hari ini.

FB Komen

comments